Jumaat, 20 September 2019

Pengenalan

Haji ialah mengunjungi Baitullah al-Haram di Makkah pada bulan-bulan haji untuk mengerjakan ibadat-ibadat tetentu menurut syarat-syaratnya.

Ibadat haji merupakan salah satu rukun Islam yang mesti dilaksanakan oleh setiap muslim yang mukallaf. Hukumnya wajib sekali seumur hidup apabila memenuhi syarat-syaratnya. Setiap muslim mestilah berazam untuk menunaikan ibadat haji dan sentiasa berusaha untuk melaksanakan perintah Allah tersebut. Haji merupakan rukun Islam yang kelima. (petikan buku Figh Ibadat Haji, Umrah dan Ziarah-Tabung Haji 2018

Menyedari semua itu saya terus berazam untuk menunaikan fardu haji. Sering berdoa agar Allah menjemput saya menjadi tetamu-Nya. Wang bukan ukuran kemampuan kita tetapi jemputan Allah itu amat mustahak untuk dinilai.

Namun, berdasarkan catatan dibawah maka saya dengan jujurnya berkata perjalanan haji saya bukanlah semudah menyimpan wang.

Detik-detik rayuan saya dengan Allah:

12 Mac 2019 merupakan tarikh yang tidak dapat saya lupakan sepanjang hayat apabila doktor mencadangkan saya menghadiri sesi kaunseling untuk memasang tapak bagi proses Dyalisis. Lemah longlai jadinya. Ketika aku memberitahu isteri perkara ini kelihatan wajahnya berubah.

13 Mac 2019 saya hadir sesi kaunseling bersama isteri. Terdapat ramai pesakit dan keluarga mereka ikut serta. Rupanya itulah penamat kehidupan yang selesa kami! Kami diterangkan oleh pasukan Jururawat Hospital Canselor Tuanku Mukhriz ( HCTM/PPUKM ) beberapa kaedah Dyalisis yang boleh dipilih.

  • Pertama ialah pemindahan Buah Pinggang
  • Kedua ialah proses Dyalisis Air menggunakan mesin
  • Ketiga Dyalisis Air menggunakan Air tetapi kaedah manual
  • Keempat ialah Dyalisis Darah di Pusat Dyalisis.
Saya belum membuat pilihan yang mana satu. Namun borang untuk proses scan urat telah saya hantar ke Pusat Endoscopy HCTM/PPUKM . Petugas di situ telah menetapkan pada 9 April untuk membuat scan urat.

Sepanjang tempuh itu saya jadi mamai. Fikiran kusut dan perasaan mudah marah. Tapi saya cuba kawal emosi agar tidak menjadi lebih parah. Saya memujuk hati agar tidak terus gundah gulana. Isteri dan anak menantu memberi semangat.

Allah memberikan kekuatan apabila saya mampu bangun untuk menunaikan solat Tahajut. Allah memberikan masa untuk saya bersolat Duha. Kekuatan inilah yang telah saya usaha sejak menghadapi masalah kesihatan sejak 2000 hingga kini. Malah ia lebih diharapkan akan pulih kerana saya dalam perancangan menunaikan fardu haji.

Perasaan tertekan tidak dapat disembunyikan lagi malah ia lebih hebat jika dibandingkan dengan apa yang aku alami ketika hendak dibedah pada tahun 2015,2016,2017. Lihat tajuk yang berkaitan di Ya Allah Panjangkan Usiaku

Ketika berkunjung ke rumah kakak saya di Kluang pada 23 Mac 2019 dia agak terkejut setelah diberitahu aku akan membuat Dyalisis.

__________________________________________________________________



9 April 2019, hujan turun dengan lebat di Bangi. Ia seolah-olah mengiringi perasaan pilu aku pagi itu yang akan menyerahkan tubuh untuk dipasang tapak Dyalesis. Saya dan isteri masuk ke Pusat Endoscopy dengan wajah tidak ceria. Pesakit ramai.

Selang tak lama namuku dipanggil. Sayamasuk untuk mengadap petugas di situ. Petugas di situ memulakan scan di tangan kiri kemudian beraleh ke tangan kanan. Entah apa takdir yang Allah turunkan tugas mencari urat kat tangan aku gagal. Saya diberi tarikh baru iaitu 2 Julai 2019.

Tidak semena-mena Allah memberi ilham kepada saya untuk meneruskan proses menunaikan fardu haji! Petang itu juga kami ke sebuah agensi yang menguruskan pakej haji. Setelah mendapat harga pakej dan mengambil borang kami balik.

Satu lagi urusan ialah apabila pegawai sebuah agensi pakej haji sedang menghantar mesej ke Whatsap saya. Entah bagaimana petang itu saya membuat keputusan untuk mendaftar dengan Felda Travel. Haji Mohd Azahari mencadangkan saya daftar segera jika berminat kerana esok 10 April adalah tarikh tutup.

__________________________________________________________________

10 April 2019, Balai Felda Jalan Gurney Kuala Lumpur. Aku dan isteri tiba di tingkat 4 untuk bertemu Haji Mohd Azahari. Memang kuasa Allah, tengahari itu dengan sahnya kami telah mendaftar sebagai jemaah haji kerana mengikut peraturan Tabung Haji sesiapa yang mendaftar pada tahun 2014 ke bawah layak menunaikan haji menerusi pakej jika mereka mampu.

Kata saya kepada isteri inilah peluang kita untuk menunaikan fardu haji walaupun terpaksa berkorban wang yang lebih demi sebuah kesempurnaan rukun Islam kelima. Sejak hari ini maka kami akan menunggu proses seterusnya sehingga sampai pada tarikh yang akan diizinkan Allah menjadi tetamunya pada musim haji 1440. Pesan saya kepada isteri tercinta Selamah Binti Nekman, jangan anggap memilih pakej haji swasta ini untuk keselesaan tetapi anggaplah satu usaha pengorbanan kita terdapat Allah.

__________________________________________________________________

23 April 2019, saya menghadiri diri untuk temujanji dengan doktor pakar Nefro (Buah Pinggang). Hari ini isteriku ikut serta ke dalam bilik doktor. Inilah kali pertama saya ditemani isteri hingga ke bilik doktor. Dia nak dengar sendiri apa yang doktor cakap.

Sesi bersama doktor berjalan dengan mesra. Di dalam bilik ada dua orang doktor wanita. Doktor yang merawat aku menerangkan perkembangan Buah Pinggangku. Katanya aku sudah boleh membuat tinjauan di sekitar Bangi mana-mana Pusat Homodialysis yang boleh aku pilih.

Saya memberitahu kepada doktor yang saya dapat tawaran pergi menunaikan haji. Doktor membuat keputusan jangan pergi kerana dia kuatir berlaku kesan sampingan ketika berada di Mekah. Berbagi hujah dikeluarkan sehingga doktor berkata apakah kalau saya pergi untuk membunuh diri? Saya diam tanpa membantah.

Saya dan isteri hanya mendengar pendapatnya. Malah aku yakin dia jujur sebagai seorang doktor muslim.

__________________________________________________________________


6 Mei 2019, hari ini adalah hari pertama Ramadan 1440. Sempena bulan Ramadan ini sayamengambil keputusan untuk memperbanyak doa kepada Allah. Selain berpuasa di waktu malam aku tunaikan solat sunat Terawikh. Saya bertenaga seperti biasa. Alhamdulillah sehingga 15 Ramadan saya masih bertenaga untuk berpuasa.


__________________________________________________________________

2 Jun 2019 Saya membuat keputusan untuk tidak pergi membuat scan urat di Pusat Endoscopy HCTM/PPUKM. Bukan degil dan bukan melanggar arahan doktor, tetapi saya mendapat gerak hati tangguhkan dulu membuat scan urat. Dalam erti kata lain saya akur dengan arahan doktor untuk membuat Dialisis tapi nak tanggung seketika supaya hasrat untuk menunaikan rukun Islam ke-5 terlaksana.

Pada saya jika Dialisis diteruskan maka harapan untuk ke Tanah Suci akan musnah. Saya merasakan bahawa gerak hati ini adalah datang dari Allah yang mengarahkan sayatangguhkan seketika.

Sekitar jam 10.30 pagi dalam perjalanan untuk menghadiri majlis jamuan hari raya Aidilfitri di bekas pejabat isteri, saya menerima panggilan dari Felda Travel. Pegawai yang membuat panggil memberitahu bahawa nama saya dan isteri boleh ikut serta pakej mereka dengan syarat bersetuju membayar wang tambahan dan akan pergi dengan penerbangan komersial, bukan penerbangan haji.

Saya membuat keputusan untuk menerima tawaran tersebut dan pegawai berkenaan memberitahu jika bersetuju penerbangan kami adalah pada 2 Ogos 2019 manakala balik ialah pada 2 September 2019. Kata pegawai itu, nama saya dan isteri akan dihantar ke Lembaga Tabung Haji.

5 Julai 2019 Saya menerima panggilan telefon daripada menantu, Ridzuan. Berita gembira saya dan isteri dapat menunaikan fardu haji. Kemudian selepas solat Jumaat saya menerima pesanan dari Whatsap. Kami diminta hadir kursus perdana anjuran Agensi Felda Travel di Hotel Tenera Bandar Baru Bangi, Selangor.

6 Julai 2019- Ya hari ini saya dan isteri menjadi salah seorang peserta kursus haji. Menariknya ketika majlis bermula saya mendapat tahu mantan Naib Canselor UKM, Yg Berhagia Tan Sri Sharifah Hapsah ikut serta dalam kursus haji ini.

8 Julai 2019 Kami ke pejabat Lembaga Tabung Haji Bandar Baru Bangi untuk mengambil surat tawaran. Lebih dua jam di situ.

Disebelah petang kami ke sebuah klinik untuk membuat ujian kesihatan. Masalah timbul apabila doktor yang membuat rawatan minta kami ke sebuah makmal di Kajang untuk membuat ujian darah. Setelah sampai di sana kami diberitahu semple darah akan diberi keputusan pada hari Khamis 12 Julai. Kami buntu sebab borang tawaran wajib dihantar selewat-lewatnya hari Jumaat 12 Julai. Pastinya kami buntu.

Malam itu menantu saya datang ke rumah dan membuat cadangan supaya menukar klinik. Saya bersetuju.

9 Julai 2019 Kami ke sebuah klinik dan rawatan serta rundingan perubatan dan saya selesai sebelum jam satu petang. Manakala isteri saya siap sekitar jam 4.40 petang. Selamat, syukur ujian kesihatan diluluskan.

10 Julai 2019 Kami ke pejabat Lembaga Urusan Tabung Haji Kuala Lumpur. Oleh kerana parkir penuh saya mencari di kawasan lain. Ketika memandu Cik Syira dari Felda Trevel menelefon mengenai proses membayar Dam untuk Haji Tamattuk. Waktu tiu kami berada di kawasan berhampiran Balai Felda Kuala Lumpur. Saya mengambil keputusan untuk pergi ke pejabat Felda bagi urusan tersebut. Selesai.

Kemudian kami mengambil Grab untuk ke LUTH. Menariknya pemandu Grab pernah menunaikan haji pada tahun 1992 ketika itu berusia 34 tahun. Beliau banyak memberi tip-tip mengerjakan haji. Alhamdulillah.

Sekitar jam 5 petang kami mengambil teksi balik ke parkir Bangunan Felda untuk mengambil kereta yang diletakkan di sana.

24 Julai 2019 Saya dan isteri (kami) berangkat ke Kompleks Tabung Haji KLIA di Movenpick yang terletak tidak jauh dari rumah kami. Kalau dulu saya melihat bakal haji berangkat ke Tanah Suci (Mekah dan Madinah) hari ini saya sendiri dilayan seperti VIP dengan kawalan polis trafik dari Kompleks Tabung Haji ke Lapangan Terbang. Cukup ini peristiwa itu.

Ketika pesawat KT63B meninggalkan tergenang air mata sambil berdoa "Ya Allah selamatkanlah penerbangan ini, selamatkanlah segala urusan ibadat haji di Mekah. KT63B membelah pekat malam dengan meninggalkan kami sebuah keluarga yang kecil hanya tiga puteri dan dua menantu tanpa adik dan kekak atau abang melambai pemergian kami di tanahair.

Malam itu adalah penerbangan kelima paling lama saya ke Tanah Suci setelah pernah menunaikan umrah pada 2016 dan 2018. Penerbangan ini penuh dengan impian dan harapan agar perjalanan haji saya berjalan lancar.

25 Julai 2019 KT63B mendarat di Lapangan Terbang Jeddah dengan ucapan pada bunner "Selamat Datang Tetamu Allah". Ya, saya mengerti kami adalah tetamu Allah. Kehadiran ke Mekah untuk menunai haji berbeza dari membuat umrah. Kami disambut oleh petugas Tabung Haji (TH) dan petugas Muasasah. Setibanya kami di hotel di Mekah, orang baru selesai menunai solat Subuh.


Sabtu, 14 September 2019

Monolog rindu

Berikut adalah koleksi catatan-catatan dari Facebook saya


Dua minggu berlalu
Aku Tawaf Widaq dalam pilu,
Aku tinggalkan Kota yang tak pernah sunyi,
Kota yang sentiasa hidup dengan zikir dan doa,
Malamnya aku tiba di sebuah Kota indah bercahaya.
Walaupun masih letih 6 jam perjalanan.
Aku menyusuri pintu Assalam.
Berkunjung Makam Baginda Rasulullah.
Ya Rasulullah, aku datang untuk kesekian kali
Ya Saidina Abu Bakar aku datang untuk kali ini
Ya Saidina Omar aku aku datang entah-entah yang terakhir.
Jemaah lain tak tahu menangis di dalam hati.
Jemaah lain tak tahu bahasa aku.
Tengahmalam itu aku menadah salam di Baqi'
Pusara hebat, penghuninya hebat.
Sering ku impi bersemadi di sini
Namun ia bukan bahagianku apabila aku harus pergi.
Kini ku kembali masih sepi
Kini ku kembali masih rindu
Pada keagongan Allah.
Pada keagongan Rasulullah

Jika anda rasa pelik

Ini kisah berlaku depan Baitullah. Ada seorang pemuda Pakistan minta air Zam-Zam dari botol saya. Tanpa berfikir panjang saya bagi. Dia minum dan pergi. Semakin jauh dia pandang saya, saya pandang dia. Pemuda itu hilang di celah-celah jemaah yang ramai. Lepas tu saya tersenyum.
Apakah dia fikir saya ni malaikat dan saya pun fikir begitu juga😊 Maklum berbagai kisah kita pernah dengar. Pastinya saya teringat kata kawan "Kau bagi saja kalau orang minta air dari kau. Mana tau kot-kot jadi penawar".
Ini kisah semasa buat umrah tahun 2016.

Cara nak berbual

Berbicara dengan jemaah di Mekah dan Madinah jadi mudah kalau sama-sama boleh berbahasa Inggeris. Dia bukan tahu pun kita gred D je masa kat sekolah dulu.
Kalau bahasa Arab hafal Anta, Ana, Halal, Haram pun memadai. Itu kalau dengan orang bukan Arab. Kalau yang Arab dia dah boleh berbahasa Melayu, terutama masa nak beli barang.
Saya? Senang saja kekadang saya hantam cakap Melayu dengan orang India, Pakistan, Bangladesh. Bahasa Badan saya dia faham. Seronoknya bila saya bertanya"Hajjah dari mana ....India ke? " dia berkata sambil geleng kepala " Pakistan".
Tapi kalau nak minta ruang solat yang sempit mudah je kuis bahu dia kiri kanan dengan sebut Solat, Solat. Lepas tu bagi salam, ambil minyak wangi hulur kat dia, bila dia ambil kau dah selamat. Skill masa jadi Jurufoto kena guna juga.
Silatulrahim itu indah.

Khamis, 12 September 2019

Ziarah balik Haji

Ini kisah balik haji Semalam saya dikunjungi tetamu dari Muar yang asalnya tinggal kat Bangi semasa belum pencen. Menariknya sahabat saya ini sudah buat haji dan kerap buat umrah. Apa yang saya nak catatkan 'Haji Vateren' ini sanggup ziarah saya dan ziarah kawan-kawan sehingga ke Rawang. Semalam katanya ada empat rumah. Di hujung pertemuan beliau minta saya baca doa. Katanya nak dapat berkat 'Haji Muda' 'Satu lagi kisah' seorang sahabat saya telah menjemput sahabat-sahabatnya balik haji di 'KLIA' seramai 7 pasangan termasuk saya. Rupa-rupa beliau yang telah tunai haji tahun 2018 nak ambil keberkatan tuan-tuan haji yang baru balik dari Mekah atau Madinah. Saya mengambil pengajaran dari dua kisah ini pada tahun-tahun akan datang jika ada sahabat nak pergi haji hantarlah mereka, ketika balik jemputlah mereka, manakala kita sebagai 'Haji Muda' bersedialah dengan doa, mana tau kot-kot makbul. 'Paling penting hafal doa makan sebab lepas balik haji ramai orang belanja atau kita kena belanja makan🤗
Bila kita balik haji rakan-rakan anggap kita telah berubah 360°.

Rabu, 11 September 2019

Tinggal kenangan

Antara barang kenangan yang akan abadi dalam simpanan setiap jemaah haji yang telah menunaikan haji. Ianya tidak akan boleh dijadikan bukti di Alam Barzah dan Alam Akhirat untuk mendakwa telah menunaikan haji.
Amalan kita yang akan menentukan kehidupan kita di sana. Simpan untuk jadi peringatan kepada anak cucu setidak-tidak waris tahu mereka tak perlu buat Haji Badal untuk kita setelah kembali ke Kerahmatullah kelak😥😥😥

Seorang sahabat

Sahabat saya Hj Abd Razak yang sudah bersara dari UKM datang dari Muar menziarahi saya dan isteri. Beliau antara sahabat yang sering memotivasikan ketika nak buat umrah pada tahun 2016 dan 2018.
Hasil tunjuk ajar beliau juga membangkitkan keazaman saya untuk menunaikan fardu haji. Kata Haji Razak, hari ini beliau nak ziarah empat rakan balik haji termasuk saya. Terima kasih Tuan Haji.