13 Oktober 2019

Tetamu Allah

Saya dan isteri mendaftar untuk menunaikan haji pada bulan Oktober 2010. Agak lewat kerana ketika itu usia saya telah 52 tahun. Sebelum itu saya bukan tak pernah terfikir nak daftar tetapi kerana kesibukan membesarkan anak-anak dan menyekolahkan mereka maka mendaftar menunaikan haji agak lewat. Isteri saya sering berkata kenapa daftar lewat. 

Wang? Memang ada tapi kurang cukup. Kami menabung setiap bulan menerusi potongan gaji amat mudah.

Namun satu keinsafan timbul ialah apabila saya menyimpan sejumlah wang siling ke dalam Tabung Haji (TH). Seingat saya lebih RM400. Lantaran itu membuatkan saya bersemangat untuk mengekalkan jumlah simpanan agar mencukupi. Maklumlah kami bukan bergaji besar.

Istilah seru juga sering disebut oleh orang kita apabila ditanya bila nak tunai haji. Namun setelah membeli buku dan mengikuti kursus haji baru saya faham seru yang dimaksudkan ialah jemputan daripada Allah.

Rancangan di TV mengenai haji sering kami tonton setiap kali tiba musim haji. Jiwa saya meronta-meronta ingin segera menunaikan haji. 

Hinggalah pada tahun 2016 anak sulong saya Atiqah mengajak pergi menunaikan umrah. Tahukah anda ketika itu wang tidaklah berapa cukup untuk pergi buat umrah. Kami berbincang anak beranak

Wang untuk saya dan isteri cukup, namun jika nak bawa dua orang anak pasti tak cukup. Percayalah niat yang baik pasti Allah akan bantu. Kami ada Tabung Keluarga. Setelah bersetuju, kami gunakan Tabung Keluarga dan wang simpanan lain dari TH maka dapatlah membawa dua orang anak saya ke Tanah Suci bagi menunaikan umrah kali pertama iaitu pada 29 Mei 2016 hingga 10 Jun  2016. 

Pada ketika itu saya cukup yakin, wang bukan faktor utama tetapi keizinan dan jemputan daripada Allah adalah perkara yang membuatkan sampai ke Tanah Suci.

Setelah selesai menunai umrah yang pertama rindu kepada Mekah dan Madinah tidak boleh disembunyikan lagi. Air mata sering mengalir bila melihat gambar dan video mengenai Tanah Suci. Kisah menunaikan umrah tidak kami lupa.

Akhirnya pada 5 hingga 15 November 2018 saya sekali lagi berangkat ke Tanah Suci bersama isteri dan anak bongsu bagi menunaikan umrah. Allahuakbar Maha Suci Allah yang memberi peluang sekali lagi kepada kami. 

Kali ini saya kami lebih fokus meminta doa agar dijemput menunaikan fardu haji. Maklumlah faktor usia menyebabkan saya merayu agar Allah perkenankan doa kami. Sebut saja tempat mustajab di Tanah Suci  kami akan berdoa. 

9 April 2019 menjadi permulaan usaha kami menjadi lebih serius untuk menunaikan haji. Di samping telah mengikuti kursus asas haji dua tahun berturut-turut tahun 2017 hingga 2018 dan 2018 hingga 2019 kami juga membuat rayuan kepada TH. Walaupun hingga akhir Ramadan 1440/2019 kami belum menerima jawapan daripada TH akhirnya Allah telah membuka episod hebat dalam urusan menunaikan fardu haji. Anda boleh baca perjalanan haji kami di bab pengenalan Trevelog ini.

Saya akui kami menunaikan haji dengan menggunakan pakej haji swasta menerusi Felda Trevel. Kami buat keputusan imi kerana faktor kesihatan dan usia. Kami gunakan wang pencen yang masih ada. Bimbang wang itu habis tanpa faedah maka kami korbankan ke jalan Allah. Kami tidak berniat untuk mendapat keselesaan di Tanah Suci.

Lazimnya jika kita telah mendaftar lima hingga sepuluh tahun maka kita layak memohon menggunakan pakej swasta yang diberi lesen haji oleh TH. Nama kita akan disenaraikan ke TH dan proses menunai haji sama seperti Muasasah TH. 

Kami tidak melanggar peraturan yang ditetapkan oleh TH. Segala dokumen perjalanan, tiket dan saringan kesihatan sama seperti yang diurus oleh Muasasah. Cuna setelah berada di Tanah Suci Mekah dan Madinah kami akan diuruskan oleh agensi yang terlibat. Manakala ketika di Arafah dan Mina kami dibawah pengurusan Muasasah Haji Arab Saudi.

Hadis Rasulullah bermaksud "Orang yang menunaikan haji dan umrah adalah tetamu Allah. Apabila mereka memohon kepada-Nya, pasti diperkenankan. Dan Apabila mereka memohon keampunan kepada-Nya, pasti diampunkan. Tetamu Allah ada tiga, orang yang menunaikan haji, orang yang menunaikan umrah dan orang yang berperang fisabillah. (Riwayat Nasa'i Ibnu Hibban dan Hakim)

Justeru itu jika sampai masanya maka kita tidak perlu berfikir panjang lagi untuk menunaikan haji. Kita telah dipanggil oleh Allah menjadi tetamunya. Maka pada ketika itu apa yang kita fikir mesti sampai ke Tanah Suci biar dengan apa cara sekali pun. Kita akan berkorban apa saja demi keredhoan Allah.

Lebih menakjubkan hati saya dan isteri tidak pernah berbelah bahagi untuk menyahut seruan Allah. Keazaman begitu kuat. Kalau dulu isteri saya agak risau untuk meninggalkan puteri kami maklumlah dia ada waktunya bekerja balik jam 12 tengahmalam, tapi setelah membuat keputusan untuk pergi haji dan telah menerima tawaran perasaan itu tiada lagi.

Malah anak saya Nur Aqilah tidak kisah kerana dia sendiri pernah dua kali ke Tanah Suci menunaikan umrah. Dua orang kakak dan abang iparnya telah sanggup mengambil alih menjaga Nur Aqilah. Saya yakin ramai ibu ayah yang berada dalam keadaan begini. Ada ibu ayah yang meninggalkan anak yang masih kecil. Inilah kuasa Allah apabila yang mahukan kita menjadi tetamunya.

Dalam kes saya adalah diharap tidak semua orang mengharap akan menjadi kenyataan jika telah mempunyai penyakit yang kritikal. Saya berada dalam keadaan penuh keyakinan Allah akan membantu kerana belum lagi membuat Dyalisis. Saya masih ingat gerak hati daripada Allah untuk pergi menunaikan haji secara pakej. Isteri saya adalah motivator yang hebat. Anak dan menantu saya juga adalah penyokong kuat usaha saya. Namun usaha tanpa berdoa yang bersungguh-sungguh pasti tiada kejayaan.

Kekuatan saya ialah dengann membuat solat taubat,solat tahajjut, solat hajat di samping solat lima waktu diperkemaskan. Siapa yang tidak mahu menjadi tetamu Allah? Justeru itu keazaman perlu kuat. Saya bangun setiap awal pagi bermunajat kepada Allah. Sebenarnya ketika bulan Ramadan adalah masa terbaik untuk saya. Saya mencari Malam Lailatulqdar. Bagi saya dan isteri, tahun ini adalah mada keemasan untuk menjadi kenyataan menunai kan haji.

Perbanyakkan membaca buku-buku
mengenai haji agar keyakinan kita
bertambah teguh
Kita sering diberitahu oleh ustaz dan ustazah, hadir ke Tanah Suci untuk menunaikan haji dengan membawa dosa. Oleh itu jangan berburuk sangka dengan Allah. Tanamkan sikap positif agar berjaya menunaikan haji. Perbanyakkan solat taubat, berbanyakkan beristiqfar agak Allah memakbulkan doa kita.

Saringan kesihatan oleh panel perubatan TH amat berguna. Jika kita gagal pasti tidak dapat menunaikan haji. Keputusan saringan kesihatan juga boleh menambah keyakinan kita ketika berada di Tanah Suci. Berdoalah kepada Allah agar membantu kita supaya berjaya dalam saringan kesihatan.

Soal mati atau hidup itu hak Allah. Jika kita akan dimatikan di Tanah Suci Mekah atau Madinah itu satu kelebihan kerana itunadalah tempat sebaik-baik di muka bumi ini. Namun jika kita tidak dimatikan di sana maka kita mempunyai banyak peluang menambah pahala setelah pulang kelak sebagai haji mabrur.

Doa itu kekuatan bagi umat Islam.

Tiada ulasan:

Catat Komen