13 Oktober 2019

Memperolehi Haji Mabrur, Bagaimana?

Sebelum Subuh saya dan isteri bergerak ke Kuala Lumpur. Rancangan awal nak bersolat Subuh di Masjid  Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Namun setibanya di plaza tol Sungai Besi azan Subuh telah berkumandang. Kami berhenti di surau yang terdapat di situ.

Sesampai di Masjid Wilayah Persekutuan, hari masih awal. Kami hadir untuk satu majlis reunion jemaah haji yang dianjurkan oleh Yayasan Amal Mabrur Malaysia. Ingatkan majlis kecil-kecilan sahaja namun setelah jam 9 pagi dewan masjid dipenuhi dengan haji dan hajjah seramai lebih 1500 orang.

Majlis ini diadakan untuk jemaah haji yang telah kembali dari Tanah Suci untuk tahun 1440/2019. Terdapat juga dari jemaah haji 1439, tetapi tak ramai. Menariknya ada yang datang dari jauh nun di Sabah sana.

Apa pengisiannya? Tahniah kepada urusetia kerana telah merangka pengisian yang cukup bermenafaat dengan mengadakan ceramah dan forum mengenai bagaimana mengekalkan haji yang mabrur. Penal forum bertajuk Menggilap Kemabruran dari kalangan ustaz dan ustazah yang berpengalaman ketika menguruskan haji.  Mereka terdiri daripada Ustaz Dato' Haji Nizam Kamruzaman, Ustaz Haji Roslan Mohamed, Ustazah Fatimah Syahra. Selain itu Ustaz Haji Mohammad Hasnil bin Abu Bakar mengupas buku Muhasabah Mabrur.

Haji Mabrur bukan di Mekah kata Ustaz Nizam. Haji Mabrur terletak di hati. Oleh itu kekalkan momentem kita setelah balik menunaikan haji.

Perbanyakkan zikir, tingkatkan usaha bangun malam untuk menghidupkan ibadat malam, hebatkan bersedekah dengan menginfakkan harta ke jalan Allah, sertai majlis-majlis ilmu dan membaca Al Quran.

Pesanan ahli panel, berusahalah untuk tidak melakukan maksiat lagi selepas kembali dari mengerjakan haji. Jadikanlah peluang mengerjakan haji sebagai usaha terbaik kita.

Ahli panel juga menekankan agar jemaah haji dapat menjadi agen pengubah keadaan agar anak-anak muda berazam menunaikan haji di usia muda. Menunaikan haji di usia muda mampu mengubah keadaan masyarakat terutama anak-anak muda tentang akhlak mereka.


Alhamdulillah program menemukan semula jemaah haji dan hajjah menarik disamping menggamit semula kenangan ketika mengerjakan haji di Mekah, Arafah dan Mina kami merasakan pengisian ilu amat berguna. Kalau sebelum ini kursus haji bersiri yang kita ikuti menekankan kaedah mengerjakan haji tetapi ketika majlis reunion kami dapat memantapkan penghayatan apa itu makna haji mabrur. Usaha begini amat baik dikembangkan ke negeri lain kerana tak semua haji dan hajjah mampu hadir jika diadakan di Kuala Lumpur atas faktor masa, kewangan dan tenaga. Tahniah kepada penganjur.





Tiada ulasan:

Catat Komen