26 September 2019

Susahkah Menunaikan Haji?

Susahkah menunaikan Haji? Itu soalan yang kerap bermain di fikiran kita yang belum menunaikan haji. Ia umpama soalan kepada kita, susahkah mengerjakan solat?

Ibadah haji wajib ditunaikan di Tanah Suci Mekah yang meliputi Baitullah, Safa Marwah, Padang Arafah, Muzdalifah dan Mina. Kepada anda yang pernah ke sana, tempat yang saya sebut tidaklah jauh jika dibandingkan dengan Madinah. Semua tempat ini boleh sampai sekitar 30 minit dari Kota Suci Mekah. Tempat-tempat yang saya sebut ada yang berada dalam Tanah Haram dan ada yang di luar Tanah Haram.

Madinah pula bukan tempat mengerjakan haji tetapi ia adalah tempat kunjungan bagi menziarahi Makam Nabi Muhamad S.A.W dan mengambil berkat bersolat di Masjid Nabawi.

Ibadah haji wajib dilakukan sekali seumur hidup. Oleh itu bagi mengerjakan ibadah ini kita harus memahami tatacara yang betul agar memperolehi haji yang sah lagi mabrur. Ada kaedah membayar Dam jika kita tersalah atau terlanggar pantang ketika di dalam ihram. Dam bukan denda seperti kita faham, Dam ialah satu gantian yang menggantikan apa yang kita langgar ketika ihram. 

Justeru dalam perjalanan menunaikan fardu haji banyak perkara yang dianggap kemampuan harus kita patuhi. Kewangan, kesihatan, pengorbanan adalah ciri-ciri hebat yang perlu dititik beratkan.

Perjalanan ke Tanah Suci yang jauh memerlukan kewangan yang mencukupi. Sebab itu di Malaysia kaedah menyimpan di Tabung Haji (TH) adalah satu kaedah terbaik yang telah diamalkan oleh umat Islam negara kita. Dengan wang sebanyak RM1300 anda sudah boleh mendaftar sebagai bakal haji. Pihak TH akan memberi peruntukan masa dalam tempuh tertentu untuk kita pergi menunaikan haji. 

Selepas mendaftar maka simpanlah mengikut kemampuan kita sehingga sampai jumlah layak pergi haji. Namun giliran menunaikan haji termaktub juga panggilan dari Allah. Menunaikan haji adalah menjadi tetamu Allah.

Kesihatan adalah faktor utama yang wajib diberi perhatian. Jika anda tidak sehat dengan mempunyai penyakit kronik sudah pasti kita layak menunai haji. Oleh itu jagalah kesihatan bermula dari muda dan berazamlah untuk menunaikan haji pada usia muda.

Dokumen penting
Pengorbanan lain tidak kurang hebat. Sebab itu ketika Hari Raya Aidiladha kita sering diingatkan tentang pengorbanan Nabi Ibrahim dengan anaknya Nabi Ismail. Kita juga melaksanakan ibadah kurban haiwan ternakan. Namun sedarkah kita pengorbanan seorang jemaah haji adalah hebat dari segi perasaan dan fizikal. 

Mereka mengorbankan sejumlah wang yang banyak. Tanpa mengira keuntungan mereka mengorbankan wang demi mencapai hasrat menunaikan fardu haji. Bukan sekadar untuk tunai haji, tetapi tanggungan yang ditinggalkan. Meninggalkan anak dan keluarga dengan perasaan sayu, pilu, sedih adalah satu pengorbanan yang hebat. Mereka ditinggalkan dalam satu jangkamasa yang lama iaitu lebih dari sebulan.

Laungan Tahmit "Labaikallah hummalabaik, Labaikallah humalabaik" mengiringi pemergian mereka. Air mata yang jatuh dari pipi seorang ibu kerana meninggalkan anak-anak amat mahal. Air mata yang bergenang di kelopak mata seorang ayah adalah lambang sayangnya mereka kepada anak-anak. Namun panggilan Allah lebih diutamakan maka lambai tangan yang lesu tidak kelihatan oleh sesiapa. Di sinilah pengorbanan agong telah terjadi ketika perpisahan berlaku.

Kita sedar dalam pada itu ada yang terjadi perpisahan itu buat selama-lamanya apabila Allah menjemput terus ke alam Barzah ketika berada di Madinah atau Mekah. Keluarga di tanahair redho kerana itulah tempat sebaik-baiknya mati. Maka mereka akan bersemadi di sana sehingga hari kiamat.

Sementara menanti Hari Wukuf bakal-bakal haji akan melalui rutin yang sibuk di Madinah dan Mekah. Jika ke Madinah terlebih dahulu bakal haji akan mengambil peluang bersolat di Masjid Nabawi pada setiap waktu. Ziarah Makam Nabi, mengambil peluang masuk ke Raudah untuk mendapat pahala yang berganda-ganda.

Di Padang Arafah. Berdoalah semaksimum mungkin.
Setelah sampai di Mekah mereka akan menunaikan umrah wajib terlebih dahulu. Kemudian akan berulang alik menunaikan solat di Masjidilharam. Sambil ada yang mengambil peluang melakukan Tawaf Sunat. Maka setiap masa bakal-bakal haji hanya memikirkan ibadah terhadap Allah. Di sini berlakulah proses penyucian diri, jiwa. Mereka hadir dengan dosa, mereka berusaha membersih dosa maka itulah harapan murni seorang insan yang kerdil di sisi Allah.

Bermula 8 Zulhijjah bakal-bakal haji akan bergerak ke Arafah. Satu lokasi padang pasir yang kini terdapat pohon-pohon hijau. Bergantung kepada kehendak Allah, jika orang yang tidak tahan panas maka Padang Arafah akan teras panas olehnya. Oleh itu bermula di sini akan bermakna ujian pertama kita dalam erti kesabaran. Haji itu adalah Arafah. Maka berada di Padang Arafah akan menentukan kita tertunai haji atau tidak. Bakal-bakal haji akan berada di Arafah sehingga terbenam matahari 9 Zulhijjah.

Apa yang akan dilakukan di Padang Arafah? Ya tidak lain dan tidak bukan kita akan menunaikan solat Zohor, Asar, Maghrib dan Isyak disamping mengambil peluang berdoa. Di sini tempat kita nak minta apa saja daripada Allah. Berdoalah tanpa segan dan malu untuk meminta apa sahaja yang baik-baik terutamanya kebaikan di alam akhirat kelak. 

Mina adalah bandar yang sunyi sepanjang
11 bulan dalam setahun
Selepas selesai di Arafah jemaah haji akan bergerak ke Muzdalifah. Mereka akan bermabit (bermalam) di situ sebelum bergerak ke Mina. Ada jemaah haji yang hanya melalui Muzdalifah tanpa bermalam dengan syarat melintasi tempat ini ketika tengah malam untuk balik ke Mekah bagi melakukan Tawaf Haji dan Saie pada 10 Zulhijjah kemudian balik ke Mina untuk melakukan ibadah melontar di tiga Jumrah.

Ada jemaah haji yang selesai mengerjakan haji pada 12 Zulhijjah dan ada yang selesai pada 13 Zulhijjah.

Anda boleh memperolehi panduan lengkap ibadah haji ini jika mengikuti kursus haji bersiri anjuran TH biasanya diadakan bermula setiap bulan November atau lebih awal.

Banyakkan bersabar
Susah nak menunaikan haji? Tak susah jika berusaha. Akan menjadi susah jika kita tak faham secara mendalam segala rukun-rukun haji. Namun ketika mengerjakan haji, kita akan dibimbing oleh ustaz-ustaz dan ustazah-ustazah yang berpengalaman dan bertauliah.







Berdoalah kepada Allah agar segala yang kita tunaikan menjadi lebih mudah. Kunci kepada segala-galanya adalah doa. Kita jangan berburuk sangka dengan Allah, kita jangan berburuk sangka dengan Tanah Suci. InsyaAllah segala-galanya akan menjadi mudah.

Kita yang belum pernah sampai ke Tanah Suci kerap mendengar kisah-kisah ganjil. Dulu kerap berlaku apabila balik dari menunaikan haji ramai yang membawa kisah-kisah luar biasa terjadi di sana. Namun sekarang kita dinasihatkan jangan menceritakan perkara-perkara yang pelik kepada kaum keluarga supaya mereka tidak patah hati untuk ke sana bagi menunaikan haji dan umrah.



Seperti kata Dato' Hj. Md Daud Che' Ngah (mantan Pengurus Besar Lembaga Tabung Haji) di dalam bukunya Cerita Daripada Mutawif, "Pendedahan ini bertujuan untuk memberi iktibar kepada semua umat Islam agar berhati-hati dan memiliki ilmu yang mantap jika hendak beribadat di Makkah. Jauh sekali untuk menukilkan bentuk penghinaan mahupun merendah-rendahkan sikap jemaah atau bercita-cita mencampurkan pandangan serta krebiliti saya dalam mencampuri hal ehwal politik agar para pembaca tidak tersalah anggap terhadap sebarang coretan ini".

Setiap kali saya kembali dari Tanah Suci, sering ditanya kejadian yang mungkin saya alami. Saya mengambil sikap merahsiakan perkara-perkara ini kerana bimbang akan menghilangkan semangat orang nak menunaikan haji atau umrah. Pada saya setiap kejadian yang terjadi adalah milik peribadi yang mungkin tidak akan sama dengan orang lain. Malah antara saya, isteri dan anak-anak juga ada bezanya.

Mana mungkin tiada ujian yang Allah berikan kerana untuk menunaikan solat berjemaah atau bersendirian pun ada dugaan dan ujiannya. Begitu juga ibadat puasa. Inikan pula ibadat haji yang dianggap besar dalam rukun Islam. Pesan ustaz-ustaz yang membimbing haji, buang sangkaan buruk kepada Allah.

Kita mungkin diuji dengan kesakitan, dengan kehilangan harta benda seperti wang. Ada orang kehilangan selipar atau sejadah. Malah ada orang akan sesat di Masjidilharam. Sesat bukan perkara luar biasa kerana Masjidilharam besar dan mempunyai pintu. Oleh itu bersedialah dengan pergi ke sana dengan berkawan terutamanya jemaah wanita.

Sebab itu kita akan dibekalkan dengan tag nama, rantai tangan, beg sandang agar ia menjadi tanda apabila berlaku sesuatu yang tidak diingini. Jangan fikir apabila sudah lama berada di Mekah maka kita merasa rimas untuk memakai barang-barang tadi. Paspot kita akan dipegang oleh pihak Muasasah Haji oleh itu kad pengenalan diri yang diterbitkan oleh TH perlu dipakai setiap masa.

Harus diingatkan bahawa kawalan masuk ke Mekah akan menjadi ketat di musim haji. Tidak semua orang mudah masuk ke Tanah Haram waktu itu kecuali mereka yang mendapat kebenaran atau visa haji dan para petugas sahaja yang boleh berada di Mekah. Pengajaran musim haji 1440 ialah apabila 26 orang bakal haji dari Malaysia yang tidak dapat masuk ke Mekah kerana tiada visa haji.

Semua ini kerana keazaman untuk menunaikan haji yang tinggi tetapi ada masalah pengurusan atau salah teknikal maka mereka menjadi mangsa.

Oleh itu sebelum membuat keputusan menunaikan haji pilihlah cara yang betul menerusi Tabung Haji atau pakej swasta yang mendapat lesen haji yang sah. Usah membiarkan urusan haji kita dibuat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Bersedia dengan mental yang kuat adalah faktor utama. Fizikal sihat dan kekuatan mental amat membantu kita dalam menunaikan fardu haji. Ada jemaah haji yang kehilangan orang tersayang seperti ibu ayah, suami atau isteri ketika sedang menunaikan haji. Mereka mungkin meninggal di Tanh Suci atau di tanah air.

Saya ada seorang rakan yang kematian ibu ketika seminggu beliau berada di Mekah. Sukar saya membayangkan perasaan sedihnya. Namun ungkapan beliau membuat saya terharu, " Ibu meninggal ketika saya berada di tempat yang baik".

Isteri saya, kehilangan anak saudara dalam kemalangan motosikal sedangkan pada masa yang sama kakak isteri saya masuk wad kerana sakit yang tenat. Saya terpaksa mententeramkan isteri untuk seketika. Jiwa saya juga jadi kacau, maklumlah anak saudara beliau yang dikenali sejak kanak-kanak.

Ujian kecil atau besar itu harus kita lalui. Pesan seorang ustazah, jika di Mina berhati-hati kerana ia adalah bandar tanpa penghuni selama 11 bulan dalam setahun. Bandar ini akan berpenghuni untuk tempuh sekitar seminggu. Oleh itu jika berada di Mina hendaklah sentiasa berwaspada dari sebarang bentuk ujian. Semua orang yang pernah menunaikan haji berpesan sabar dan redho adalah kunci keberkatan haji.

Saya hanya berpeluang mengerjakan haji ketika berusia 61 tahun. Keadaan tubuh badan orang berusia 61 tahun ini mengundang banyak azab berbeza dengan rakan-rakan sebilik yang berusia 47, 55 dan 59 tahun. Terus terang saya katakan berusahalah untuk menunaikan haji pada usia muda. Keadaan suhu di Mekah yang panas sering melebihi 45 darjah maka ketahanan kita akan berkurangan. Saya pernah menunaikan umrah pada musim panas (2016) dan musim sejuk (2018) tetapi berada di Kota Mekah pada jangkamasa lebih 40 hari ia agak mencabar.

Oleh itu saya mengurangkan aktiviti luar yang menyebabkan tubuh saya didedahkan pada cahaya matahari. Banyakan meminum air. Banyakan memakan buah-buahan yang mempunyai banyak kandungan air.

Mengerjakan haji wajib hanya sekali seumur hidup. Justeru belajar dengan lengkap segala ilmu-ilmu tentang haji. Dalami Fiqah. Kekalkan membaca Al Quran. Perbanyakkan zikir dan doa kepada Allah. Jadikan jangka masa 40 hingga 50 hari dai Tanah Suci sebagai 'kursus jati diri'. Kita akan terasa ada perubahan dalam diri kita. Ramai orang akan berubah setelah balik dari menunaikan haji.

Ketika di Tanah Sucilah akan berlaku proses revolusi mental. Kita akan mengubah secara paksa atau sukarela peribadi. Cara bercakap, cara bergurau. Bermula di Mekahlah kita akan melahirkan jiwa baru, peribadi baru, wajah baru. Namun perubahan harus berlaku sebelum berangkat  menunaikan haji. Kita harus belajar mengamalkan solat-solat sunat sebelum dan sesudah solat lima waktu. Kekalkan solat Tahajut, Duha, Taubat, Hajat, Tasbih. Semua ini akan kita lakukan ketika berada di Tanh Suci.

Berubah ke arah kebaikan bukan perkara yang mudah. Namun kita harus berubah dengan memaksa diri atau secara sukarela. Segala perubahan inilah yang disebut oleh orang sebagai anugerah Haji Mabrur. Insha Allah.

Nota: Oleh kerana ibadat haji dilakukan sekali seumur hidup catatan ini tidak sama dengan pengalaman tuan/puan, maka penulis mengalu-alukan komen atau tambahan pendapat di ruangan ulasan. Terima kasih.


Tiada ulasan:

Catat Komen