28 September 2019

Mabit Di Mina | Lembah Yang Sunyi Di Luar Musim Haji

Mina hanya boleh dikunjungi ketika musim haji.
Mina bandar yang hanya 'hidup" seminggu dalam setahun.
Ketika mengerjakan ibadat haji, Mina adalah satu lokasi yang wajib dihadiri oleh semua jemaah haji. Mina adalah lokasi kedua selepas Arafah. Jemaah haji akan bermalam di Mina mulai 10 hingga 13 Zulhijjah. 

Mina merupakan sebuah lembah padang pasir yang terletak sekitar 5 kilometer dari kota MakkahArab Saudi. Mina paling dikenali sebagai tempat pelaksanaan ibadat melontar jamrah dalam ibadah haji. Selain itu, di Mina juga terdapat tanda-tanda yang menjadi tempat penginapan bagi ratusan ribu jemaah Haji.


Di sini terdapat tugu jamrah, iaitu tempat pelaksanaan ibadat melontarkan batu ke arah tugu jamrah sebagai simbolisasi tindakan Nabi Ibrahim a.s. ketika mengusir syaitan yang cuba menganggu baginda menjalankan ibadah qurban iaitu menyembelih putera kesayangannya sendiri iaitu Nabi Ismail a.s. Di sini terdapat tiga tugu yang digunakan untuk ibadat melontar iaitu Jamratul Aqabah, Jamratul Ula, dan Jamratul Wustha. Di tempat ini jemaah Haji diwajibkan untuk bermalam ketika musim haji berlangsung dalam bulan Zulhijjah. (sumber: Wikipedia)

Aktiviti di Mina; Solat, berdoa, tazkirah.
Gambar ikhsan Felda Trevel


Mabit Di Mina:

Maksudnya ialah berada di Mina pada malam-malam hari Tasyrid iaitu pada 11,12, dan 13 Zulhijjah. 

Jemaah haji boleh mabit pada 11 dan 12 Zulhijjah sahaja bagi yang melakukan Nafar Awwal ataupun 11, 12 dan 13 Zulhijjah bagi yang melakukan Nafar Thani.

Tempuh Mabit di Mina: 

Terdapat dua pendapat ulama berhubung tempoh mabit di Mina iaitu:

1. Pendapat muktamad (al-asah): Lebih daripada separuh malam.
2. Pendapat lemah (muqabil al-asah): Memadai berada di Mina seketika masuk waktu Subuh. (azan Subuh dilaungkan)

Jemaah haji di Mina
Peringatan:

1.Jika tempuh malam 12 jam kesemuanya sekali, bermakna sekurang-kurangnya jemaah haji perlu mabit adalah 6 jam lebih sedikit. Ini adalah mengikut pendapat yang muktamad. Oleh itu, jemaah haji wajib berada di kawasan Mina lebih sedikit daripada separuh malam secara berterusan sama ada pada awal malam atau peretengahannya dengan tiada terputus-putus.

2. Sekiranya tempoh masa seseorang itu mabit terputus-putus disebabkan dia keluar masuk antara sempadan Mina walaupun jumlah tempoh masa dia berada di Mina lebih daripada separuh malam, maka tidak sah mabitnya dan dikenakan Dam. Sekiranya tidak mabit semalam damnya adalah secupak, dua malam adalah dua cupak. Jika tiga malam, dikenakan dam (Tertib dan Taqdir). (Rujuk buku Fiqh Ibadat Haji, Umrah dan Ziarah keluaran TH)

Menurut sunnah, melontar tujuh (7) biji anak batu di Jamrah Kubra merupakan amalan yang pertama dilakukan oleh jemaah haji pada 10 Zulhijjah di Mina, ia adalah tahiyyat (penghormatan) bagi Mina

Masa untuk melontar di Jamrah Kubra bermula selepas separuh malam 10 Zulhijjah dan berakhir apabila terbenam matahari (masuk waktu Maqrib) pada 13 Zulhijjah.

Waktu afdal untuk melontar pada 10 Zulhijjah ialah apabila masuk waktu Dhuha hingga gelincir matahari (masuk waktu Zohor) pada hari tersebut.

Ibadat melontar di tiga Jumrah: Ula, Wustha dan Aqabah
Gambar ikhsan Felda Trevel


Ibadat-ibadat lain ketika berada di Mina ialah bersolat lima waktu, membaca Al-Quran, berzikir, tazkirah oleh ustaz yang bertauliah dengan TH, takbir hari raya dan berdoa.

Pengalaman penulis ketika di Mina kebanyakan masa digunakan untuk perbanyakkan apa saja ibadat. Kita tak perlu memikirkan masalah dunia. Jika bersama isteri, isteri tak perlu memikirkan soal memasak makanan. Makanan telah tersedia oleh pihak Muasasah. Makan saja apa yang ada, usah banyak ragam.

Mina menguji kita. Tanpa mengira siapa kita di Mina kita bercampur tanpa merasa malu dan segan. Malah jika terasa meningkat martabat seseorang panggil sahaja mereka dengan Haji atau Hajjah tanpa menyebut Tan Sri, Datuk, Datin. Persahabatan bertaup di sini. Kemesraan terbina apabila kita bermalam di tanah tanpa tilam yang empuk.

Uztaz dan ustazah pembimbing haji sering berpesan, Mina tempat ujian sebenar. Mina mengajar erti sebenar hidup seorang manusia beragama Islam. Begitu juga rakan-rakan yang pernah menunaikan haji berpesan Sabar dan Redho adalah sifat yang perlu diamalkan. Wang ringgit atau sebarang harta tidak berguna lagi. Bawalah wang berjuta tiada tempat untuk digunakan.

Berdoa, bertaubat adalah perkara yang dilakukan di Mina. Bagi penulis Mina betul-betul mengajar erti pembentukan peribadi muslim. Harta yang kita simpan dan guna selama ini bagaikan dilupakan. Anak-anak dan keluarga kita lupa dalam erti kata khusuk menyerah diri kepada Allah. Menangislah sepuas-puasnya tiada siapa yang akan tertawakan kita.

Kita datang dengan dosa mengharapkan keampunan daripada Allah. Itu sahaja.



Suasana di komplek melontar tiga Jumrah

Jemaah haji wanita ketika di dalam khemah
Gambar-gambar ikhsan Hajjah Normala,
Hajjah Sofiah
Keadaan Mina di musim haji 1440/2019.Ikhsan Hajjah Sofiah



Mina 1440/2019. Gambar Ikhsan Felda Trevel

Nota: Pembaca masih boleh menambah pendapat dan komen di ruangan komen. Ini hanya pengalaman penulis.


Tiada ulasan:

Catat Komen